Sunday, December 4, 2011

GARIS PANDUAN PERLAKSANAAN PROGRAM INKLUSIF PENDIDIKAN KHAS










1.0       PENGENALAN

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pendengaran untuk membantu murid-murid bermasalah pendengaran menerima pendidikan dengan selesa dan sesuai dengan kemampuan mereka. Mereka boleh mengikuti program ini di sekolah-sekolah yang menjalankan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melaksanakan Program Pendidikan Inklusif di sekolah-sekolah harian biasa yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pendengaran dan Bermasalah Pembelajaran.

Tujuan Program Pendidikan Inklusif dilaksanakan adalah untuk memberi peluang dan ruang kepada semua murid pendidikan khas berinteraksi dalam semua aspek sosial dan akademik dengan rakan aliran perdana. 

Program Pendidikan Inklusif dilaksanakan menggunakan dua pendekatan iaitu Program Pendidikan Inklusif Sepenuh Masa dan Program Pendidikan Inklusif Separa Masa yang diajar oleh guru aliran perdana bagi setiap mata pelajaran yang diambil.


2.0              TUJUAN KERTAS

            Untuk mendapatkan kelulusan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran Malaysia.


3.0              OBJEKTIF

3.1              Menyebarluaskan maklumat garis panduan peranan guru pendidikan khas (guru pembimbing). kepada pihak pentadbir
3.2              Panduan umum  mengenai pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif untuk dipatuhi semua pengetua, guru besar dan guru.
3.3              Memberi kefahaman yang jelas, tepat dan bersistematik mengenai pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif kepada semua warga pendidik.
3.4              Pihak sekolah boleh menyesuaikan panduan umum ini mengikut keperluan murid, guru dan sekolah masing-masing.
3.5              Sebagai satu garis panduan yang standard digunapakai di seluruh negara.
3.6              Mewujudkan persefahaman antara pihak pentadbir, guru aliran perdana dan guru pendidikan khas.



4.0              RASIONAL
           
            Dengan adanya garis panduan ini, pengendalian Program Pendidikan Inklusif dapat diselaras dan diseragamkan diseluruh negara.


5.0              DEFINISI

5.1              Program Pendidikan Khas Integrasi

                        Program Pendidikan Khas yang dijalankan di sekolah-sekolah yang mempunyai murid-murid berkeperluan khas.


5.2              Program Pendidikan Inklusif

Peluang pendidikan untuk murid-murid berkeperluan khas belajar di dalam kelas biasa bersama-sama murid-murid normal di aliran perdana dengan mengikuti kurikulum biasa, mendapat bimbingan sama rata oleh guru mata pelajaran dengan dibantu oleh guru pendidikan khas (guru pembimbing).

5.2.1        Inklusif Penuh

                        Murid berkeperluan khas yang mengikuti pembelajaran sepenuhnya dalam kelas aliran perdana dengan bantuan guru pendidikan khas (guru pembimbing).

5.2.2        Inklusif Separa
                       
                        Murid berkeperluan khas mengikuti sebahagian pembelajaran dalam mata pelajaran atau aktiviti tertentu dalam kelas aliran perdana dengan bantuan guru pendidikan khas (guru pembimbing).


5.3              Guru pendidikan khas (guru pembimbing).

Guru pendidikan khas (guru pembimbing). adalah Guru Pendidikan Khas yang ditugaskan membantu murid yang mengikuti Program Pendidikan Inklusif.


5.4              Bilik Resos

Bilik Resos merujuk kepada bilik yang disediakan sebagai tempat persediaan pengajaran sebelum dan selepas Program Pendidikan Inklusif. Ianya juga digunakan sebagai tempat menyimpan peralatan dan bahan tambahan pengajaran dan pembelajaran pendidikan khas.


5.5              Jumlah Waktu

            Guru pendidikan khas (guru pembimbing). yang membantu P&P di program pendidikan inklusif adalah juga guru yang mengajar subjek yang sama di PPKI dan mempunyai jumlah waktu mengajar sama dengan guru-guru pendidikan khas yang lain iaitu antara 26 hingga 30 waktu bagi sekolah rendah dan 20 hingga 25 waktu bagi sekolah menengah.



6.0   ASAS PERTIMBANGAN

Keperluan cadangan Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif di sekolah-sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pendengaran di sekolah-sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi berasaskan kepada beberapa faktor :


6.1             Kesamarataan Pendidikan

Garis panduan pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif kepelbagaian keupayaan individu selaras dengan Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 Bahagian II 3(2) yang menyatakan:

Seseorang murid dengan keperluan khas adalah boleh dididik jika dia mampu untuk mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain dan disahkan oleh panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai Kementerian Pendidikan dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebagai berupaya mengikuti program Pendidikan Kebangsaan layak untuk menghadiri program pendidikan khas kecuali murid-murid yang berikut;
a)            murid yang cacat anggota tetapi mempunyai kebolehan mental untuk belajar seperti murid biasa; dan
b)            murid yang mempunyai pelbagai kecacatan atau yang sangat cacat anggotanya atau yang terencat akal yang berat.”

Untuk memenuhi keperluan individu, program pengajaran dan pembelajaran yang dibentuk adalah fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, yang menyatakan “guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan Khas”.

6.2             Melonjakkan Pendidikan Malaysia ke Tahap Antara Bangsa

Hala tuju pendidikan negara memerlukan satu perancangan sistematik untuk menjana kecemerlangan melalui pewujudan kluster kecemerlangan pendidikan. Falsafah Pendidikan Khas bermatlamat untuk mengembangkan potensi dan kualiti pelajar bekeperluan khas supaya menjadi tanda aras kepada di negara maju. Usaha ini bertujuan generasi yang holistik dan memenuhi  keperluan kerja. Untuk tujuan itu, penyediaan prasarana yang lengkap, berfungsi dan terkini perlu disediakan oleh KPM ditambah pula nilai sejarah dan tradisi keunikan sekolah boleh menjadi elemen penting untuk melonjakkan kekuatan yand ada pada program pendidkan khas integrasi tersebut.


            6.3       Memartabatkan Profesion Keguruan

Isu kekurangan guru di sekolah bantuan kerajaan sering dibincangkan oleh pelbagai pihak. Masalah kekurangan guru jika tidak diatasi dengan segera boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah bantuan kerajaan. Cabaran KPM untuk memastikan guru di SBK terdiri daripada mereka yang terlatih dan mengikut opsyen dan mampu membawa kepada kecemerlangan kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah-sekolah tersebut.

7.1.1        Prosedur Penempatan

a)                  Peringkat 1
i.                    Semua murid pendidikan khas pendengaran akan memulakan sesi persekolah mengikut pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bermula pada bulan Januari.
ii.                  Ujian Pengesanan 1 akan diadakan bagi tujuan penempatan murid pendidikan khas pendengaran ke PPKI atau Program Pendidikan Inklusif (PPI).
iii.                Senarai pendek murid pendidikan khas pendengaran yang lulus dalam UP1 akan dikemukakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa. Bagi murid pendidikan khas pendengaran yang gagal dalam UP1 akan ditempatkan ke PPKI .


b)                 Peringkat 2

i.                    Semua murid pendidikan khas pendengaran yang lulus ini dalam UP1 mengikuti pengajaran dan pembelajaran di PPI bermula  pada minggu pertama bulan Februari sehingga ke akhir tahun.
ii.                  Semua murid pendidikan khas pendengaran ini  akan menduduki peperiksaan yang sama di aliran perdana seperti Ujian Pengesanan 2, Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun.

c)                  Peringkat 3

i.                    Murid pendidikan khas pendengaran yang gagal dalam UP1 akan ditempatkan di PPKI.
ii.                  Murid pendidikan khas pendengaran akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran pada minggu pertama bulan Februari di PPKI.
iii.                Semua murid pendidikan khas pendengaran ini  akan menduduki peperiksaan yang sama di aliran perdana seperti Ujian Pengesanan 2, Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun.
iv.                Bagi murid pendidikan khas pendengaran yang lulus bagi setiap Ujian Pengesanan 2, atau Peperiksaan Pertengahan Tahun atau Peperiksaan Akhir Tahun akan disenaraipendekkan ke Mesyauarat Jawatankuasa untuk tujuan penempatan semula ke PPI.
v.                  Bagi murid pendidikan khas pendengaran yang belum layak ke PPI,  akan meneruskan pengajaran dan pembelajaran di PPKI.
                                  
7.1.2        Syarat-syarat ke Program Pendidikan Inklusif

a)      Tidak melebihi 2 tahun umur kronologi
b)      Boleh mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran dalam aliran perdana
c)      Tidak mempunyai  pelbagai kecacatan
d)     Boleh berinteraksi dengan guru dan rakan sebaya

7.1.3        Peranan dan tanggungjawab Guru pendidikan khas (guru pembimbing). dan Guru mata pelajaran dalam menjayakan Program Pendidikan Inklusif

a)      Bersama merancang pengajaran dan pembelajaran secara kolaboratif
b)      Merancang dan melaksanakan penilaian.
c)      Gunakan BBM yang sesuai.
d)     Dedikasi dan komitmen yang tinggi.
e)      Layanan dan bimbingan yang adil.


7.2  Guru pendidikan khas (guru pembimbing). Murid Bermasalah Pendengaran

7.2.1        Pengajaran dan Pembelajaran

a)      Mengajar murid bekeperluan khas secara individu atau berkumpulan di Bilik Resos sebelum atau selepas masa pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Inklusif.
b)      Membantu murid bermasalah pendengaran semasa Program Pendidikan Inklusif dilaksanakan.
c)      Mendapatkan kerjasama daripada guru mata pelajaran untuk tujuan persediaan murid sebelum pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Inklusif.
d)     Mendapatkan kerjasama daripada guru mata pelajaran atau Guru Kanan Panitia untuk tujuan pengukuhan dan pengayaan selepas Program Pendidikan Inklusif.
e)      Mengenal pasti, menyelaras dan mengambil tindakan dalam membuat keputusan berkaitan setiap perkembangan semasa dalam Program Pendidikan Inklusif. Ianya mencakupi aspek keperluan kurikulum serta pentaksiran yang melibatkan kepentingan murid bermasalah pendengaran.
f)       Menjalankan tugas sebagai guru penterjemah dan pemudahcara di Program Pendidikan Inklusif bagi aktiviti amali dan koakademik untuk mata pelajaran dan topik tertentu.
g)      Memberi penekanan, keutamaan dan tumpuan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran teras.
h)      Mengajar kemahiran bahasa isyarat Bahasa Malaysia Kod Tangan.
i)        Menjalankan latihan pertuturan bagi murid yang ada sisa pendengaran.
j)        Peruntukan waktu pengajaran dan pembelajaran Guru pendidikan khas (guru pembimbing). adalah bergantung kepada mata pelajaran masing-masing bagi sekolah menengah dan sekolah rendah.
k)      Waktu pengajaran dan pembelajaran Guru pendidikan khas (guru pembimbing). boleh dianjalkan mengikut keperluan pembelajaran murid dan dalam jumlah waktu yang diperuntukan.
l)        Pembinaan jadual waktu kelas inklusif sebaiknya selaras dengan jadual waktu aliran perdana dan mengikuti keperluan dan kesuaian.

7.3  Pengurusan

a)      Menyelenggara Alat Bantu Dengar berfungsi dengan baik.
b)      Memastikan semua murid memakai Alat Bantu Dengar.
c)      Merakam program siaran TV Pendidikan untuk digunakan mengikut jadual waktu yang sesuai.
d)     Bekerjasama dengan guru lain di sekolah dan agensi luar untuk membantu murid bermasalah pendengaran dari segi hal ehwal kebajikan dan kesihatan.
e)      Mengadakan kolaborasi dengan pihak luar dalam menyalurkan maklumat, pendidikan dan pengetahuan kepada murid bermasalah pendengaran.

7.4  Kelas Bimbingan Dan Aktiviti-aktiviti tambahan

a)      Mengadakan kelas bimbingan tambahan bagi murid yang akan menduduki peperiksaan umum.
b)      Mengadakan kelas bimbingan bahasa isyarat kepada ibubapa/ penjaga murid supaya dapat membantu menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru di rumah.
c)      Membimbing murid dalam penggunaan perisian teknologi maklumat dan komunikasi.
d)     Mewujudkan dan menyelia perjalanan aktiviti Kelab Komunikasi Seluruh di sekolah.
e)      Melibatkan diri dalam aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum di dalam dan di luar sekolah yang berkaitan dengan murid bermasalah pendengaran.

7.5  Peranan Pengetua/Guru Besar

                  Pengetua/Guru Besar perlu menitikberatkan menitikberatkan perkara ini dan mengambil langkah-langkah berikut untuk menjamin pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif dikelolakan dengan sempurna.

(a)   Mempengerusi Jawatankuasa Program Pendidikan Inklusif sekolah
(b)   Mempastikan Guru pendidikan khas (guru pembimbing). yang dilantik adalah terdiri daripada personalia terlatih dalam bidang Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran.

(c)    Mempastikan Guru pendidikan khas (guru pembimbing). melaksanakan senarai tugas serta mengguna Garisan Panduan Program Pendidikan Inklusif di Program Pendidikan Khas Integrasi secara optimum.

(d)   Mempastikan Guru pendidikan khas (guru pembimbing). menumpukan segala tenaga, kemahiran dan kepakarannya ke arah meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

(e)    Guru pendidikan khas (guru pembimbing). hendaklah membimbing murid khas mengikut matapelajaran tertentu. Keutamaan mestilah diberi kepada matapelajaran-matapelajaran teras.

(f)    Jadual Waktu Pendidikan Khas mestilah disesuai dan diselaraskan dengan perjalanan Jadual waktu aliran perdana mengikut keperluan.

(g)  Membuat pemantauan Program Pendidikan Inklusif.


8.0  SYOR

Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dipohon untuk mempertimbangkan dan meluluskan cadangan Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif di sekolah-sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi


9.0  RUMUSAN

Cadangan Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif ini perlu diperkenalkan dalam latihan perguruan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan untuk membolehkan guru-guru memahami dan mengenalpasti bidang tugas masing-masing. Ia juga dapat mengembangkan potensi murid pendidikan khas bermasalah pendengaran ke arah kecemerlangan pendidikan khas.


10.0          PENUTUP

Ahli mesyuarat adalah dimaklumkan akan konsep Program Pendidikan Inklusif di sekolah sekolah-sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi.





Disediakan oleh:

  1. En Mohd.Parawes bin Abdullah
  2. En Mohd. Nasardin bin Saidon
  3. En Azalan bin Afendi
  4. En Mohd Rafi bin Abd Latif
  5. Hj Tajul Ariffin bin Lope Abdul Rahman
  6. Hj Abdul Ghapur bin Sukimi
  7. En Iskandar bin Muriani
  8. En Hishammudin bin Ahmad

6 comments:

  1. Assalam, sy mohon copy yer...terima kasih atas maklumat yg dikongsikan...
    tqvm..

    ReplyDelete
  2. mohon saya menggunakan bahan yang ada ini tujuan penyelidikan.maklumat sangat membantu

    ReplyDelete
  3. Minta dihalalkan. Saya salin maklumat. Bahan amat bermanfaat dan cukup terperinci dan jelas. TERIMA KASIH.

    ReplyDelete
  4. Assalam, minta dihalalkan,saya copy bahan yang berguna ini. TERIMA KASIH

    ReplyDelete
  5. Saya nak copy tak nak air teh yeee

    ReplyDelete
  6. salam.
    maklumat yang sangat berguna. mohon share ya. terima kasih.

    ReplyDelete